Hari ini merupakan Hari Laut Sedunia.
Apakah tanggapan anda terhadap laut?
Tong sampah yang besar?
Ataupun sekadar tempat beriadah sahaja?
Laut merupakan nadi hidup kepada Bumi kita yang indah ini. Saintis percaya bahawa hidupan yang terawal wujud di dunia ini berasal dari laut. Selain itu, laut juga merupakan penyerap haba yang palling besar di dunia diikuti dengan hutan kerana plankton-plankton di laut yang merupakan makanan kepada ikan, juga merupakan agen-agen yang memainkan peranan sebagai penyerap haba yang paling penting.
Sedihnya, sejak kewujudan manusia, laut telah dicemari oleh tindakan dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh manusia. Pencemaran seperti sampah, minyak yang tertumpah dengan sengaja ataupun tidak sengaja, telah menyebabkan penyelaras suhu dunia ini menjadi tidak stabil dan tidak sihat.
Pencemaran dan kepupusan spesis-spesis haiwan laut yang berlaku dijangka akan bertambah teruk lagi disebabkan oleh pemanasan global dan perubahan iklim yang juga merupakan hasil manusia yang tidak bertanggungjawab.
Jadi, sebagai seorang pengguna yang cinta kepada alam sekitar dan bertanggungjawab, ubahlah persepsi anda terhadap laut dan cintailah laut dengan:
- Tidak membuang sampah ke dalam laut.
- Anjurkan aktiviti membersihkan pantai 2 kali setiap tahun untuk membersihkan sampah dan juga
meningkatkan kesedaran umum.
- Bercakap dan berbual dengan kawan tentang kebaikan laut
- Tidak merosakkan atau mengambil batu karang semasa melawat ke pulau-pulau.
- Menjaga kebersihan di pantai.
Ingat! Perubahan bermula daripada anda!
Selamat Menyambut Hari Laut Sedunia.